PENUTUP

Populasi rakyat yang meningkat dari tahun ke setahun telah mendorong kerajaan untuk mengimport bahan-bahan keperluan dari luar. Ini termasuklah bahan makanan seperti buah-buahan. Pengimportan bahan-bahan ini semakin bertambah lantaran kedudukan ekonomi Malaysia yang stabil. Walaupun ia berjaya menampung keperluan rakyat, namun sedikit sebanyak telah mendatangkan kerugian terhadap buah-buahan tempatan. Tambahan pula, buah-buahan import digembar-gemburkan mempunyai khasiat yang tinggi berbanding buah-buahan tempatan.Namun begitu, ramai yang tidak mengetahui bahawa buah tempatan seperti pisang mengandungi khasiat yang tinggi. Dikatakan bahawa selain karbohidrat, pisang juga kaya dengan vitamin C, B6, B2, folate, air, tenaga, kalium, karoten, protein, fiber, abu, kalsium, fosforus, natrium, zat besi dan niasin. Menyedari hakikat itu, maka pelbagai agensi seperti MARDI berusaha untuk menaiktaraf semula kedudukan buah-buahan tempatan di mata masyarakat. Pokok pisang yang dulu dibiarkan tumbuh melata di belakang rumah kini terdapat di dalam menu di hotel-hotel terkemuka. Bukan itu sahaja, pisang juga telah pun ditanam dan diusahakan secara besar-besaran. Kini banyak kawasan perladangan pisang telah diusahakan seperti di Raub, Teluk Intan dan Kuala Kangsar. Hari ini, dengan peranan semua pihak buah-buahan tempatan semakin mendapat tempat bukan sahaja di tanahair sendiri malah ia telah menyumbangkan keuntungan yang besar kepada ekonomi negara. Dengan ini, terbuktilah bahawa pisang memang mempunyai nilai yang unggul kerana ia bukan sekadar pencuci mulut malah mampu memenuhkan isi poket.