Di kalangan masyarakat India, pokok pisang memainkan peranan penting dalam kehidupan mereka. Daun pisang telah lama dikenali sebagai bekas mengalas makana bagi mengantikan pinggan. Selain itu juga, pokok pisang turut digunakan dalam upacara-upacara seperti perkahwinan dan kematian.
Dalam majlis perkahwinan orang Melayu di Negeri Sembilan pula, daun pisang dan batang pisang digunakan sebagai pengalas dan penutup lapisan pulut kuning serta wajik sebelum dicacakkan batang pisang bagi mencucuk bunga telur nasi pancak yang bakal dibawa ke rumah pengantin lelaki.
Daun pisang juga sering digunakan sebagai pembungkus pulut membalas pemberian beras yang dibawa oleh para tetamu di dalam bakul sia. Batang pisang yang tegak berdiri lazimnya digunakan bagi mencucuk bunga telur di luar rumah untuk diberikan kepada tetamu tatkala hendak pulang. Selain itu, batang pisang juga memang telah lama dikenali sebagai penegak sirih junjung tradisional dalam majlis pertunangan dan menghantar belanja.
Di kalangan masyarakat Melayu pula, terdapat nasi kunyit atau disebut juga sebagai pulut kuning. Mengikut setengah-setengah tempat, ia biasanya dibahagi-bahagikan kepada para jiran sebagai tanda kesyukuran jika sesuatu niat itu dimakbulkan oleh Tuhan. Nasi atau pulut ini sering dihiasi dengan pelapik daun pisang yang digunting zig zag sama ada sebagai pengalas pulut ataupun lauk pauk seperti rendang, kari kering, timun, telur dadar, udang goreng dan sebagainya.
Mayarakat berketurunan Jawa juga sering mengadakan kenduri kematian, perkahwinan, pertunangan, cukur jambul, berkhatan dan berlenggang perut dengan menyediakan hidangan nasi ambang yang diisi di dalam dulang besar beralaskan daun pisang yang dinamakan 'sanggir'.
Para tetamu yang hadir cuma menjamahnya sedikit kemudian dibawa pulang dengan mengisi bahagian masing-masing di dalam bekas yang diperbuat dari daun pisang yang berbentuk empat persegi yang dipanggil 'takir'. Satu hidangan hanya akan dikhaskan untuk 4 atau 5 orang sahaja. Lauk-pauk dan hidangan iringan yang disediakan juga berbeza mengikut acara majlis.