KEPELBAGAIAN PRODUK


Kegunaan pisang sebagai sumber makanan boleh dikategorikan kepada dua; pisang untuk dimakan segar atau mentah (dessert banana).Nama botani bagi pisang ini ialah Musa acuminata.Antara kultivar yang tergolong di dalamnyaialah pisang Emas, pisang Rastali dan pisang Berangan.

Manakala pisang yang dimakan selepas dimasak atau diproses (cooking banana) dikenali dengan nama botani sebagai Musa Paradisiaca dan antara kulvitar yang popular dalam jenis ini ialah pisang Awak, pisang Nangka, pisang Tanduk, pisang Raja dan pisang Nipah.
Oleh itu, pisang menjadi buah yang bersifat pelbagai. Selain dimakan segar ia juga dijadikan campuran kepada koktel buah, salad buah-buahan , campuran kepada yogurt, puding aiskrim malah inti untuk pai dan tat. Manakala jantung
pisang pula boleh dijadikan ulam yang boleh dimakan bersama sambal mahupun aneka kuah. Bukan setakat ini sahaja, malah umbut pisang iaitu bahagian yang lembut di tengah-tengah batang pisang juga boleh dijadikan berbagai hidangan yang lazat.
Pisang boleh juga dinikmati dengan pelbagai cara seperti digoreng untuk dijadikan kerepek, digoreng dengan bersadur tepung, direbus, dibuat pengat ataupun disalai mahupun disajikan dalam pelbagai bentuk jenis kuih atau kek. Untuk tujuan pasaran komersial, pengeluaran pisang telah diperluaskan seperti diproses menjadi sebahagian makanan bijirin, tepung dan digunakan untuk kepelbagaian formulasi makanan.

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) adalah antara agensi yang terlibat di dalam pengusahaan pisang secara besar-besaran. Agensi ini juga telah menjalankan kajian tentang pemprosesan tepung pisang, pure pisang, minuman, cuka pisang, kepingan pisang sebagai bahan pencampur di dalam pembuatan ais krim dan kek. Menurut agensi ini, untuk membuat kerepek, pisang Tanduk adalah yang paling terbaik di samping menggunakan pisang Nangka dan pisang Berangan. Tepung pisang pula diproses dari menggunakan pisang Emas selain dari pisang Nangka, pisang Berangan, pisang Rastali dan juga pisang Embun. Bagaimanapun, rasa pisang Nangka yang agak masam sesuai juga kalau dicampurkan di dalam rumusan makanan bayi.