KEGUNAAN PISANG
Sejak turun temurun lagi, pisang telah digunakan oleh nenek moyang kita dalam kehidupan seharian mereka. Kegunaan pisang adalah pelbagai, ia meliputi akarnya, batangnya, daunnya, buahnya mahupun jantung pisang. Pada hari ini, kegunaan pisang adalah lebih meluas lagi . Ia bukan setakat sumber makanan, malah diusahakan dengan menggunakan teknologi moden sehingga mampu mendatangkan pulangan yang lumayan.
Masyarakat Malaysia khususnya masyarakat Melayu telah mengenali daun pisang yang berbentuk lebar itu sebagai pelapik dan pembungkus makanan. Hidangan yang berbungkus daun pisang menerbitkan bau harum serta menbangkitkan selera pemakannya.
Nasi lemak,pulut inti, pulut panggang, kuih koci, kuih lapis, lemang, lontong, lepat, nagasari, puteri dua sebilik, abuk-abuk sagu, tepung peklita, tapai, dan berbagai lagi kuih tradisional menggunakan daun pisang sebagai pembungkusnya. Bentuk-bentuk pembungkusnya pula mepunyai ciri-ciri keindahan yang tersendiri seperti panjang, tiga segi, bentuk sampul surat, empat persegi dan sebagainya.
Selain dari itu juga, daun pisang digunakan sebagai penutup hidangan untuk dihantar ke rumah jiran di kampung-kampung ketika bulan puasa dan sebagainya. Daun pisang juga mempunyai keistimewaan yang tersendiri kerana ianya dapat mengantikan minyak masak semasa memanggang ikan agar ikan tidak melekat.
Masyarakat Melayu di Johor pula menggunakan daun pisang sebagai bahan mencuci usus ayam setelah dibelah. Kemudian bilah buluh runcing dijolok bersama daun pisang ke dalamnya untuk mengeluarkan kekotoran. Menurut orang-orang tua daun pisang digunakan bagi menghilangkan bau hamis usus ayam di samping dapat membersihkannya. Usus yang sedia dibelah dua diramas dengan daun pisang bercampur dengan sedikit air sehingga semua kekotoran keluar kemudian barulah dibilas beberapa kali hingga ianya betul-betul bersih.
Satu ketika dahulu, batang pisang telah digunakan sebagai tempat mengalas kepala mayat sewaktu memandikannya di Sarawak dan di beberapa tempat di Semenanjung Malaysia. Ini kerana batang pisang memang mudah didapati dan ianya lembut. Bagaimanapun kini, peranan batang pisang ini telahpun diambil alih oleh tempat mayat yang khas yang diperbuat dari aluminium yang tidak membasahkan lantai kerana ianya mempunyai saluran air ke longkang di luar rumah.
Antara bahagian pokok pisang yang sering digunakan dalam kehidupan seharian ialah pelepah pisang. Para surirumahtangga seringkali menggunakan pelepah pisang untuk membersihkan kerang.